Wednesday, July 23, 2008

Skuad 69 PDRM Sarawak merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Pertubuhan yang didaftarkan pada 30 Ogos 2006 ini dikenali sebagai 'Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak'. No. pendaftarannya ialah 1199-06-SWK.

Tujuan asas persatuan ini ditubuhkan ialah untuk memperjuangkan nasib masa depan bekas-bekas anggota polis, dimana mereka ini pernah berkhidmat sebagai anggota polis pada tahun 1969 dan juga tahun-tahun selepasnya. Mereka yang berkenaan ini dianggap layak untuk menjadi ahli. Sebahagian besar daripada anggota polis yang mula berkhidmat pada tahun 1969 telah pun menempuhi alam persaraan masing-masing.

Boleh dikatakan sehingga kini, tidak ada lagi anggota polis di dalam Skuad 69 yang masih berkhidmat di dalam PDRM, malah kesemua mereka ini telah membawa haluan masing-masing bersama-sama dengan keluarga. Ada diantaranya telah menceburkan diri dalam perniagaan, ada juga yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, pemandu teksi dan tidak kurang juga yang berjaya menjadi tokoh korporat, tokoh politik dan tidak kurang juga yang mengerjakan ladang-ladang, kebun-kebun dan juga penternakan haiwan seperti ayam, ikan dan sebagainya.

Dalam artikata yang lain Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak akan cuba menjejaki mereka-mereka ini supaya menjadi ahli persatuan, dan dapatlah persatuan ini merancang sesuatu yang boleh dimanfaatkan bersama.

Sejak persatuan ini ditubuhkan, lebih daripada 100 orang telah mendaftarkan diri sebagai ahli Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak. Persatuan menjangkakan akan dapat menambahkan lagi kekuatannya dengan penyertaan lebih ramai bekas-bekas polis sebagaimana yang termaktub di dalam undang-undang persatuan.

Bayaran pendaftaran menjadi ahli persatuan ini ialah RM100, manakala yuran tahunannya pula ialah RM10 sahaja. Bayaran pendaftaran berjumlah RM100 boleh dibayar secara ansuran, dimana ahli yang berkenaan hendaklah menyatakan kesediaan masing-masing untuk berbuat demikian di dalam borang yang disediakan. Setiap permohonan menjadi ahli hendaklah juga disertakan sekeping gambar berukuran paspot untuk proses membuat kad ahli.

Urusetia Persatuan ini ialah di Lot 540 Tingkat 2, Seksyen 10, Jalan Rubber, 93400 Kuching, Sarawak. No. telefon 082-233069, 082-381169 dan No. Fax: 082-233069. Alamat emel pula ialah - skuad69@gmail.com.